Tuesday, November 3, 2009

Do Away With Exemption of Liability Letter - Press Statement

KENYATAAN AKHBAR

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan di Kampar, iaitu keluarga adik, N. Dina Deve, V. Divyasree dan M. Davadharshini.

Kehilangan seorang anak tidak dapat diganti dengan walau sebanyak mana wang pun. Malah apa yang kita lakukan selepas ini tidak akan mengembalikan nyawa mereka. Apa yang kita boleh perolehi adalah keinsafan dan pengajaran daripada insiden ini.

ISU UTAMA

Saya menyeru kepada Kementerian Pelajaran Malaysia supaya memansuhkan amalan meminta ibu-bapa menandatangani Surat Pelepasan Tanggungan bagi aktiviti-aktiviti luar sekolah yang diwajibkan murid hadir. Adalah menjadi satu amalan biasa bagi sekolah-sekolah meminta ibu-bapa menandatangani Surat Pelepasan Tanggungan bagi aktiviti-aktiviti luar sekolah.Amalan ini boleh diterima bagi aktiviti dimana ibu-bapa mempunyai pilihan untuk samada menghantar anak-anak mereka atau tidak, tetapi amalan ini tidak boleh diterima dimana aktiviti tersebut diwajibkan hadir oleh pihak sekolah mahupun pihak Kementerian Pelajaran.

‘Standard’ atau piawaian keselamatan dan tanggungjawab bagi aktiviti-aktiviti luar sekolah yang wajib mestilah piawaian yang sama dengan semasa murid-murid berada di sekolah.

Pemansuhan Surat Pelepasan Tanggungan bagi aktiviti wajib akan memastikan kesemua pihak memberi lebih penumpuan kepada aspek keselamatan serta menimbang segala risiko sebelum membawa kanak-kanak kita ke mana-mana aktiviti luar sekolah.

Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi ingin memastikan sistem kita lebih diperkemaskini sebelum lebih ramai nyawa terhilang.

Isu Kedua

Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya berhenti menyalahkan kanak-kanak yang terlibat di dalam insiden tersebut. Ada lapuran yang menyatakan bahawa di antara faktor penyumbang keruntuhan jejantas itu adalah disebabkan kanak-kanak melompat dan bermain di atas jejantas. Kanak-kanak akan sentiasa bersikap kebudak-budakan. Faktor ini harus diambilkira apabila mana-mana pihak menganjurkan aktiviti luaran bagi kanak-kanak dan harus mengambil langkah berjaga-jaga.

Banyak persoalan timbul dari satu insiden ini. Sebagai contoh, kenapa kanak-kanak diminta merintasi jejantas di waktu malam, mengapa S.O.P yang mengkehendaki kanak-kanak menggunakan ‘life-jacket’ bagi aktiviti yang melibatkan air tidak disediakan, adakah pihak sekolah mengambil insurans bagi aktiviti luaran ini sebagaimana yang dikehendaki oleh garis-panduan kerajaan bagi aktiviti luaran wajib dan kenapa kanak-kanak darjah lima yang tidak seharusnya menyertai aktiviti ini diminta untuk hadir semata-mata untuk memenuhi bilangan murid?

Isu Ketiga

Saya juga ingin, diwaktu ini menyeru kepada pihak-pihak berkuasa tempatan memastikan bahawa taman-taman tema permainan (‘theme parks’) terutamanya taman-taman tema permainan sementara mengamalkan langkah-langkah keselamatan yang secukupnya di setiap masa. Pemeriksaan harus dilakukan dari masa ke semasa untuk memastikan operator-operator taman-taman tema ini memberi keutamaan kepada keselamatan pada setiap masa. Kita tidak perlu satu insiden di taman-taman tema sebelum kita mengambil langkah berjaga-jaga.

Sekian. Terima kasih.

Murugesan Sinnandavar

Setiausaha Agung MIC